Yayasan EcoWorld Sedia RM6.8 juta Untuk Dana Pendidikan

171
views
Iklan Infopelajar2u

Yayasan EcoWorld berjaya mengumpul RM6.8 juta sebagai dana pendidikannya tahun ini, bagi membantu golongan kurang berkemampuan menerusi Program Bantuan Pelajar (SAP).

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata jumlah itu meningkat berbanding RM6.4 juta pada tahun lalu.

Beliau berkata, peruntukan itu membolehkan pihaknya meneruskan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dimulakan sejak empat tahun lalu dengan membantu 3,037 golongan kurang berkemampuan di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor, Sabah, Perlis, Kedah dan Pahang.

Beliau berkata, menerusi peruntukan itu pihaknya menjalankan pelbagai program pendidikan dan kebajikan penerima bantuan iaitu 2,600 murid sekolah rendah, 400 (pelajar sekolah menengah) dan 37 mahasiswa dan mahasiswi.

Menaja pelajar yang memerlukan bantuan

“Yayasan bercadang menaja 180 pelajar yang memerlukan bantuan atau pertambahan penerima bantuan mengikut kemampuan yayasan sehingga hujung tahun ini. Mereka boleh membuat permohonan kepada kami.

“Syarat kelayakan untuk pemohon adalah kelulusan yang baik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atau sekurang-kurangnya lulus mata pelajaran lain bagi mendapat bantuan peringkat sekolah menengah,” katanya pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Terdahulu Yayasan EcoWorld meraikan 10 penaja utama dana pendidikannya, pengurusan kanan dan 300 sukarelawannya pada Majlis Makan Tengahari Yayasan EcoWorld.

Yang turut hadir Pemegang Amanah Yayasan, Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad dan Philip Mathew serta Pengerusi Kumpulan Pembangunan EcoWorld, Tan Sri Liew Kee Sin.

Kerjasama dengan Kementerian Pendidikan

Lam Thye berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi melaksanakan SAP dan ia antara pendekatan pihaknya dalam mengubah nasib golongan kurang berkemampuan menerusi pendidikan.

Katanya, antara bantuan disediakan adalah pembelian keperluan asas murid bernilai RM1,000 sehingga RM1,300; RM1,400 untuk pelajar sekolah menengah; RM5,000 (pelajar Tingkatan Enam) dan bantuan kewangan di antara RM8,000 hingga RM18,000 untuk yuran pengajian serta kos sara hidup peringkat pengajian tinggi.

“Setiap tahun yayasan memerlukan sekurang-kurangnya RM5 juta untuk melaksanakan program SAP.

“Justeru, yayasan mengucapkan penghargaan atas sumbangan penderma untuk membantu mengisi tabung Dana Pendidikan EcoWorld. Dalam keadaan ekonomi tidak menentu, mereka (syarikat) bermurah hati menghulurkan sumbangan,” katanya.

Lam Thye turut menghargai jasa 300 sukarelawan yang juga kakitangan melaksanakan SAP kerana berjaya membuat lawatan ke rumah dan menjayakan program penting mendekati keluarga penerima bantuan serta meninjau aspek kebajikan mereka.

Katanya, pihaknya sudah membuat lawatan meninjau kebajikan penerima bantuan membabitkan 709 keluarga di Lembah Klang dan Selangor, 325 (Johor), 195 (Pulau Pinang).

“Yayasan EcoWorld memberi jaminan akan memastikan pelajar kurang berkemampuan dalam kawasan projek pembangunan hartanah EcoWorld menerima bantuan yang akan disalurkan di sekolah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan,” katanya.

Lam Thye berkata, 17 graduan daripada kumpulan pertama penerima bantuan yayasan itu yang sudah menamatkan pengajian, mereka tidak terikat atau mempunyai kontrak bekerja di bawah yayasan terbabit.

“Kalau ada jawatan sesuai, mereka boleh isi jawatan itu. Bagaimanapun, graduan yang sudah berjaya digesa menjadi sukarelawan untuk melakukan kerja kemasyarakatan kepada golongan tidak bernasib baik,” katanya.

Sumber : Berita Harian