Usrah Membentuk Individu Muslim

2908
views
Iklan Infopelajar2u

Assalamualaikum

Maksud Usrah dari segi bahasa Arab ialah keluarga. Pengertian dari segi istilah pula ialah bermaksud satu program tetap yang dianjurkan oleh kumpulan yang beriman dan berkerjasama untuk memahami dan menghayati Islam.

Usrah terdiri daripada Naqib atau Naqibah iaitu sebagai ‘ibu bapa usrah’ dan disertai oleh Mad’u iaitu anak-anak usrah. Ahli usrah tidak sebegitu ramai, usrah hanya membentuk kumpulan kecil (sedikit ahlinya).

Tempat usrah boleh dilakukan dimana-mana sahaja tempat yang baik dan sesuai seperti rumah anggota usrah, masjid, surau dan sebagainya.

Apakah tujuan usrah ini?

Usrah. Satu perkataan yang tidak lagi ganjil di kalangan orang yang sudah terlibat dengan apa-apa persatuan atau gerakan Islam. Kebanyakkan masyarakat Malaysia memahami usrah itu adalah hanya sekadar perjumpaan mingguan yang bertujuan untuk menambah ilmu pengetahuan dan meningkatkan iman di masa-masa yang lapang.

Usrah ini sebenarnya adalah bertujuan untuk meningkatkan kefahaman ahli-ahli usrah tentang Islam dan bersama meningkatkan keimanan kepada Allah s.w.t. Naqib dan Naqibah akan membuat liqa’ (bulatan) untuk membuat penyampaian dan perkongsian ilmu agama Islam kepada Mad’u mereka.

Usrah juga mendidik perasaan anggota supaya bertanggungjawab terhadap Allah dan Rasul-Nya dan menghubungkan anggota secara langsung dengan al-Quran dan Sunnah.

Dengan penyampaian ilmu menyebabkan peningkatan kefahaman tentang islam pada ahli-ahli usrah dan membina generasi Islam. Pelaksanaan Usrah itu sendiri menepati tuntutan Maratib Amal yang pertama iaitu membentuk individu muslim.

Terbentuknya individu muslim maka akan terbentuklah baitul muslim, masyrakat muslim, negara muslim dan membentuk sistem khilafah Islam dan akhirnya membentuk Ustaziatul Alam. (bahagian Maratib Amal akan diterangkan pada article lain)

Perlaksanaan usrah mestilah berterusan dan berkala seperti seminggu sekali atau dua minggu sekali. Usrah tidak terhad hanya pada perkongsian ilmu tetapi ia juga boleh melakukan ibadah bersama seperti solat berjemaah, bacaan Al-Quran berjemaah. Usrah juga boleh diselitkan dengan perkara santai seperti rehlah (berjalan-jalan) dan riadah (bersukan).

Perlaksanaan Usrah.

Usrah biasanya dijalankan seminggu atau dua minggu sekali, bergantung kepada naqib atau naqibah yang mengendalikan usrah tersebut.

Majlis usrah kebiasaannya sudah mempunyai tajuk yang tertentu yang telah ditetepkan terlebih dahulu dan dimaklumkan kepada anggota, supaya ahli usrah dapat memahami tajuk perbincangan dan usrah akan menjadi lebih aktif dengan pandangan sesama ahli yang lain.

Tajuk yang akan diusrahkan pada minggu yang akan datang ditentukan oleh naqib atau menurut ketetapan bersama atau menurut arahan pimpinan. Usrah bersurai, sesudah membaca tasbih kafarah dan surah Al-Asr.

Rukun Usrah terbahagi kepada 3 rukun iaitu

Taaruf yang bermaksud berkenalan secar amendalam hingga menimbulkan kasih sayang kerana Allah. Firman Allah S.W.T. di dalam Al-Quran yg bermaksud:
Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (jika mereka berselisih), dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat“…
(surah al-hujurat; ayat 10)

Yang kedua ialah Tafahum yang bermaksud bersefahaman. saling bersefahaman antara satu sama yang lain dalam melaksankan gerakan dakwah Islamiah. Memahami tujuan sebenar untuk berusrah iaitu kerana Allah s.w.t.

Dan yang ketiga ialah Takaful yang bermaksud saling membantu dan membela nasib sesama sendiri. Anggota usrah mestilah mengambil tahu tentang masalah-masalah anggota yang lain dan sama-sama menyelesaikannya. Ia tidak tertakluk kepada permasalahan sahaja bahkan ahli usrah mesti saling membantu dan melaksanakan gerakan dakwah Islam.

Tugas Naqib Dalam Menjayakan Usrah

Menyediakan bahan asas. Pastikan anak buah mempunyai bahan-bahan asas seperti al-Qur’an dan terjemahannya, buku dan alat tulis.

Muhasabah. Adakan satu sistem untuk muhasabah anak buah. Lakukan mengikut tahap-tahap tertentu, secara terbuka atau individu.

Jamuan. Jamuan boleh ada, boleh tiada. Jika diadakan, pastikan ia sederhana–bukan majlis menjamu selera.

Menjaga ibadah khusus: Kesempurnaan beribadat seperti solat, puasa, zakat dan ibadat nawafil mesti diutamakan. Pastikan anak buah anda benar-benar mengerti dan mengamalkannya. Sekali sekala, anjurkan ibadat nawafil jamai seperti qiamullail, puasa, zakat harta dan lain-lain.

Pemilihan tajuk. Gunakan kebijaksanaan dalam memilih tajuk usrah supaya dapat mengubati kelemahan yang wujud dalam diri anak buah anda dengan memilih tajuk yang sesuai dengan suasana anak buah anda, contohnya sekiranya usrah anda lemah dalam ikatan persaudaraan atau tidak cukup mesra maka jadikan tajuk usrah persaudaraan dan tuntutannya dalam Islam.

Tambah ilmu. Anda mestilah menggalakkan anak buah anda membaca buku-buku ilmiah, pengetahuan termasuk majalah-majalah, surat khabar, kertas kerja, kajian ilmiah dan lain-lainnya. Tugaskan mereka membuat ringkasan dalam usrah, khususnya buku-buku keluaran jamaah kita termasuk kaset-kaset rakaman syarahan pimpinan parti.

Wujudkan subkumpulan. Anggota usrah yang sedia ada hendaklah ditugaskan mengadakan kelompok-kelompok usrah yang baru, mereka ditugaskan memimpinnya. Anda hendaklah menjadi penyelia kepada kelompok-kelompok baru itu.

Teks usrah. Pada peringkat permulaan dinasihatkan supaya setiap usrah mempunyai kitab atau teks yang tertentu. Sekiranya perlu, jamaah hendaklah membeli kitab-kitab rujukan tersebut.

Tabung usrah. Usahakan sedaya upaya usrah mempunyai tabung, setiap kali berusrah hendaklah dipungut derma walaupun kadar yang paling sedikit.

Aktiviti sokongan. Sekali sekala anjurkan perkelahan di tempat-tempat yang difikirkan munasabah seperti di tepi pantai di sungai, di pedalaman dan ziarah tempat-tempat bersejarah atau tokoh-tokoh jamaah kita khususnya para ulama. Jadikan muhasabah ini suatu peluang mengenali rakan seperjuangan saudara dari dekat.

Mengikuti perkembangan sahsiah. Naqib bertanggungjawab mengembang dan mengikuti kemajuan sahsiah anggota usrah. Adab mestilah dijaga–jangan sama sekali berlaku jadar (berbalah) dan perbincangan yang tidak berguna sehingga terkeluar daripada adab seperti mengeluarkan suara nyaring.

Kesimpulan

Sistem usrah itu bertujuan menjadi salah satu daripada wasilah tarbiyah untuk mendidik dan membina individu-individu muslim yang tulen lagi “tegar”. Dan perkara ini hanya akan terhasil setelah menepati rukun-rukun usrah yang telah dikongsikan diatas.

Akhirnya, usrah yang berkesan itu adalah usrah yang mendapat penyertaan hebat dari ahlinya di samping bimbingan dan panduan yang mantap dari naqibnya. Tanpa kedua-dua ini, tidak mungkin wujud usrah yang muntijah (efektif).

usrah

Nota Editor :

Artikel ini ditulis oleh Zakwan Zaki, Mantan Presiden IMAD (Degree) UiTM Seri Iskandar. Baca lagi hasil tulisan beliau di Blog Zakwan

Tekan button ini jika anda mahu sumbangkan artikel. [otw_shortcode_button href=”https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSfWNfe1nh0PV3z3uy-NbB1fLqqWJZkLkFeeTNt6r1SALkigEg/viewform” size=”medium” icon_type=”general foundicon-page” icon_position=”left” shape=”round” target=”_blank”]Kongsi Artikel[/otw_shortcode_button]