Punca Anda Gagal Permohonan UPU

35007
views

Bagi pelajar lepasan SPM, diploma, matrikulasi, STPM dan sebagainya, anda tentu tertanya-tanya bila agaknya permohonan Unit Pengambilan Pelajar (UPU) akan dibuka. Tentu sudah tidak sabar untuk melanjutkan pengajian ke universiti bukan?

Anda boleh baca pautan yang telah kami sediakan dibawah (akan diupdate dari masa ke semasa)

Tahukah anda beribu pemohon gagal mendapat tempat di universiti walaupun mereka memperolehi keputusan SPM yang cemerlang?.

Anda tentu tertanya kenapa bukan? Oleh itu, berikut kami kongsikan kenapa mereka gagal mendapat tempat di universiti.

Punca Gagal Dalam Permohonan UPU

1. Tidak Menepati Syarat Khusus Program yang Dipohon

Perkara utama yang perlu dititikberatkan adalah syarat program yang dipohon. Syarat am untuk kemasukan ke IPTA, anda wajib mendapat sekurang-kurangnya 5 kredit dalam mana-mana subjek termasuk Bahasa Melayu dan Sejarah. Sekiranya tidak memenuhi syarat am ini, maaf jika kami terpaksa menghampakan harapan anda kerana mana-mana IPTA pun tidak akan menerima permohonan tersebut. Walau bagaimanapun, banyak lagi pilihan yang ada untuk masa depan, usah berputus asa.

Anda masih berpeluang untuk masuk ke program kemahiran seperti Institut Latihan Perindustrian, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan banyak lagi . Tahukah anda, graduan lepasan pengajian kemahiran adalah graduan paling mudah diterima dalam sektor pekerjaan. Berbalik kepada syarat khusus program, anda perlu meneliti terlebih dahulu adakah keputusan SPM anda menepati syarat khusus program, sekiranya tidak, lupakan sahaja hasrat itu dan pilihlah program pengajian lain berdasarkan keputusan SPM anda.

2. Memohon Program Pengajian Popular

Apabila anda memohon kursus popular, anda perlu menanggung risiko yang tingggi kerana sudah tentu persaingannya sangat sengit. Anda terpaksa bersaing dengan pemohon lain yang tentunya lebih hebat daripada anda. Selalunya program pengajian popular seperti program perguruan, perubatan dan kejuruteraan menjadi pilihan utama pemohon tetapi malangnya kuota pengambilan untuk program seperti ini sangatlah terhad. Maka, ramai pemohon yang terpaksa ditolak permohonannya selepas dinilai menerusi kiraan merit. Keputusan kiraan merit menunjukkan ramai lagi pemohon lain yang markah meritnya lebih tinggi berbanding anda. Maka, tentu sekali mereka yang akan memenuhi kuota tersebut.

Dalam situasi yang lain, sekiranya dalam permohonan, anda bersetuju untuk ditawarkan program berkaitan yang lain sekiranya tidak terpilih dalam 8 pilihan program (bagi pemohon lepasan STPM (setaraf)) dan 12 program (bagi lepasan SPM (setaraf)) tersebut, namun persoalannya kenapa anda masih gagal sedangkan keputusan anda lebih baik berbanding pemohon yang lain, misalnya rakan anda.

Ini kerana, selepas permohonan ditutup pihak UPU akan menilai mengikut pemarkahan merit berdasarkan pilihan pertama sehingga pilihan ke lapan. Anda pula tidak menyenaraikan program lain selain program yang anda minati sahaja. Oleh itu, sudah tentu pemohon lain yang memohon program tersebut yang berjaya terlebih dahulu walaupun markah meritnya lebih rendah. Jadi anda terpaksalah membuat semula permohonan melalui e-rayuan.

3. Menolak tawaran dan memohon semula melalui e-rayuan

Ini satu lagi situasi yang majoriti pemohon lakukan. Pemohon menolak tawaran yang telah ditawarkan oleh UPU kemudian bertindak membuat semula e-rayuan. Untuk pengetahuan anda, e-rayuan dibuka hanya kepada pemohon yang langsung tidak ditawarkan UPU. Oleh itu, sekiranya anda masih benar-benar berminat untuk melanjutkan pengajian ke IPTA, terima sahaja dahulu tawaran tersebut atau terpaksa kecewa dan gagal dalam permohonan e-rayuan tersebut.

Tahukah anda, apabila anda sudah masuk ke IPTA, permohonan anda untuk menukar ke program pengajian boleh dipertimbangkan. Namun, ada syaratnya. Kebiasaanya, pelajar yang menunjukkan prestasi kurang memberansangkan iaitu CGPA 2.00 ke bawah, mereka akan dipanggil menghadap dekan pusat pengajian.

Majoriti daripada mereka memohon untuk menukar program dengan alasan mereka gagal memahami subjek yang diajarkan dan sebagainya. Jadi permohonan itu diluluskan atas pertimbangan dekan pusat pengajian selain kekosongan tempat untuk program yang dipohon. Walau bagaimanapun, ianya bergantung kepada keputusan dekan pusat pengajian.

4. Gagal dalam Temuduga

Memohon program yang memerlukan anda menghadiri temuduga misalnya program perguruan, anda perlu lulus temuduga berkenaan. Sekiranya anda gagal dalam temuduga itu secara automatiknya permohonan anda juga gagal.

Oleh itu, pastikan anda benar-benar fokus dan tonjolkan personaliti yang positif ketika hadir ke temu duga seterusnya dapat yakinkan penemuduga bahawa anda layak untuk melanjutkan pengajian dalam bidang itu.

Jadi nasihat kami, anda perlu sentiasa peka mengenai isu-isu ini dan barulah anda boleh membuat keputusan yang bijak untuk berjaya dalam permohonan UPU ini.

Permohonan UPU 2019 Online Untuk Universiti Awam dan Politeknik

Seperti mana yang telah diketahui, kami telah kongsikan tarikh sebenar permohonan UPU sebelum ini. Jika anda masih belum ketahuinya sila ke pautan dibawah.

Untuk ketahui cara/langkah pembelian no pin unik upu di BSN, sila ke pautan berikut:

Sekiranya anda hendak mengetahui mengenai sebarang maklumat terkini ataupun pertanyaan berkaitan UPU, anda disarankan melayari laman sosial rasmi Facebook dan Portal rasmi UPU sahaja.

LIKE dan FOLLOW infopelajar2u di Facebook dan Twitter