Program Bantu Pelajar Gagal ke IPT

673
views
Iklan Infopelajar2u

Kerajaan negeri bakal melancarkan program Sifar Pelajar Lepasan SPM/STPM Tidak Ke IPT bagi membantu pelajar yang gagal ke menara gading dengan menempatkan mereka di pusat pengajian tinggi milik kerajaan negeri.

Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata tiga IPT itu iaiah Kolej Universiti Tati (Tatiuc), Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) yang akan memberikan kursus kemahiran yang sesuai kepada mereka.

Antara objektif program ini adalah untuk membantu golongan pelajar meneruskan pembelajaran dan mengelakkan mereka hanya menghabiskan masa di rumah tanpa melakukan perkara yang bermanfaat.

Pelajar terima bantuan persediaan Yayasan Terengganu ke IPT.

‘Kita akan lancarkan satu program yang dinamakan Sifar Pelajar Lepasan SPM dan STPM Tidak ke Pusat Pengajian bermaksud mana-mana pelajar yang tidak dapat masuk ke pusat pengajian dan saya telah minta Yayasan terengganu buat analisa untuk melihat ke mana pelajar-pelajar ini kita boleh kita serap masuk’.

‘Kita ada 3 pusat pengajian di bawah kerajaan negeri seperti Tati, TTITC dan Tesdec jadi elok benar peranan yang dimainkan oleh tiga IPT ini bermakna pelajar yang syarat dia cukup ke Tati dan dia tak perlu mohon dan kita terus offer kepada mereka’.

‘Juga pusat-pusat pengajian yang lain seperti Giat Mara, ILP dan pusat kemahiran yang lain atau pun kita boleh buat program MLVK atau apa sahaja yang kita boleh bantu lagi anak-anak kita yang mungkin mereka tidak mahu lagi belajar mungkin kita boleh guna konsep Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK), ditempatkan di sector-sektor yang sesuai kemudian mereka terus bekerja’.

‘Ini yang kita sedang perhalusi dan saya berharap dapat dilaksanakan pada tahun ini’.

‘Jika 20 ribu yang dapat ke IPT dan ada 4 hingga 5 ribu yang tercicir dan kita tak mahu mereka tidak buat apa-apa kalau mereka nak bekerja kita akan bantu’ katanya selepas Majlis Penyampaian Bantuan Persedian Yayasan Terengganu Peringkat Matrikulasi & Diploma Parlimen Kuala Nerus pagi tadi.

Hadir sama Pegawai Daerah Kuala Nerus, Dato’ Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil, Pengarah Yayasan Terengganu Ishamudin Hashim dan Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Nerus Dato’ Basir Ismail.

Hari ini seramai 4,209 pelajar menerima bantuan kewangan untuk ke IPT yang melibatkan peruntukan sebanyak RM3,719,100 di beberapa Dewan Undangan Negeri dan manakala DUN lain akan diagihkan pada minggu ini.

Setiap tahun kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM20 juta untuk semua peringkat pengajian termasuk matrikulasi, diploma dan ijazah kelas pertama.

Sumber : Terengganu Times