Penuntut Termuda Menerima Ijazah Sarjana Muda Berusia 14 Tahun

276
views

Seorang remaja genius, Carson Huey-you mungkin dilihat belum cukup matang untuk memandu, mengundi atau mempunyai teman wanita, tetapi pada usia 14 tahun, dia sudah mengenal erti kerja keras dan berjaya menggenggam segulung ijazah.

CARSON HUEY-YOU menerima ijazah sarjana muda fizik daripada Canselor Texas Christian University, Dr. Victor J. Boschini di Fort Worth, Texas, baru-baru ini.

Portal berita Star-Telegram melaporkan, Carson berdiri megah di atas pentas Ed & Rae Schollmaier Arena sebagai penuntut termuda menerima ijazah sarjana muda dalam majlis konvokesyen Texas Christian University (TCU) pada Sabtu lalu.

Penuntut jurusan fizik itu merupakan antara 2,010 graduan menerima ijazah yang disampaikan oleh Canselor TCU, Victor J. Boschini.

Carson Juga Cemerlang Dalam Bidang Lain

Remaja pintar yang turut cemerlang dalam matematik dan bahasa Cina itu pernah mendapat perhatian media di serata dunia pada 2013 ketika memulakan pengajian di TCU ketika berusia 11 tahun.

Dekan Program Pentadbiran dan Siswazah Kolej Sains dan Kejuruteraan TCU yang juga penasihat akademik remaja tersebut, C. Magnus L. Rittby berkata, ramai terpesona dan berbangga dengan kisah hebat penuntut muda itu, seolah-olah drama popular pada 1990-an, Doogie Howser.

Doogie Howser, itu sahaja yang dapat saya katakan untuk merujuk penuntut hebat ini. Dia sebahagian daripada mitos doktor remaja Amerika Syarikat (AS) yang menjadi kenyataan, jelasnya.

Sementara itu, Carson memberitahu, rahsia kejayaannya adalah sokongan keluarga dan berusaha untuk kekal fokus walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran.

Di kolej, saya sangat teruja kerana banyak belajar mengenai perkara baharu yang tidak pernah saya ketahui wujud sebelum ini. Nasihat saya, cuba untuk kekal fokus dengan apa yang anda lakukan dan jangan sesekali mengalah, katanya.

Menurut ibunya, Claretta Kimp, selain bangga dengan kejayaan Carson, dia turut gembira dengan seorang lagi anaknya, Cannan yang akan mengikut jejak langkah abangnya itu apabila menamatkan pembelajaran sekolah menengah hujung tahun ini pada usia 11 tahun.

Sumber : Utusan