Pemuda ini Berjaya Capai Impian Menyambung PhD Setelah 43 Kali Memohon Biasiswa

317
views

Setiap pengembaraan pelajar PhD akan menghadapi jalan cerita yang tersendiri. Pengalaman unik yang mungkin kecil, tapi cukup signifikan kerana setiap orang akan punyai masalah dan pengalaman yang berbeza-beza.

Baca Juga : Dr. Walton Berjaya Tamatkan PhD Di Usia 27 Tahun

Di sini saya ingin berkongsikan pengalaman yang sebelum ini tidak pernah diceritakan kepada umum. Bermula di peringkat awal untuk memohon tempat pengajian sehingga peringkat tajaan.

Tetapi sebelum itu saya ingin menceritakan sedikit berkenaan dengan kegagalan di peringkat pertama ketika menuntut pengajian peringkat master di Heriot Watt University, UK (HWU).

Saya tidak pernah terlintas untuk berfikiran bahawa digagalkan di peringkat tesis akhir. Ya GAGAL dalam erti kata lain boleh pulang ke kampung.

Secara literalnya, kesemua hasil usaha selama 1 tahun itu tidak lagi bererti. Seperti apa yang dikatakan dalam pepatah Inggeris “everything escaped into the mist without a trace”.

Masa itu, ada 3 perkara yang saya fikir, sama ada perlu tukar pemeriksa dan buat balik tesis tersebut atau jangan balik ke Malaysia dan teruskan bekerja sebagai ‘floor engineer‘ (pencuci) yang gajinya sama dengan pensyarah DS45 atau terjun dari Calton Hill (ok, yang ini merepek).

Tekanannya Allah sahaja lebih mengetahui. Mahu tidaknya sanggupkah untuk bayar kembali kesemua kos pengajian yang ditanggung sebanyak RM150 ribu malah bakal dikecam netizen.

Termenung saya di Musolla HWU. Sampaikan dalam hati mula bersangka buruk dengan Allah. “Awat apa salah aku?”

Saya meluangkan masa awal pagi sampailah jadi orang yang terakhir keluar dari Postgradute Centre membuat kajian penyelidikan.

Tapi kenapa gagal? Walhal saya sudah pun menerbitkan jurnal bersama penyelia ketika menulis tesis itu. Rupanya Allah telah aturkan pemeriksa tesis saya seorang yang berbangsa Jews dan barangkali ada unsur rasis.

Hanya Allah sahaja yang lebih mengetahui. Tidak mengapa. Jalan terus.

Saya bangkit semula dan memohon rayuan untuk semakan semula dengan bukti yang kukuh kenapa tesis saya sepatutnya lulus.

Saya terpaksa tanggung kos untuk semakan semula iaitu £175 (RM800) pada ketika MARA sudah tidak lagi membayar elaunsara hidup kerana sepatutnya telah tamat pengajian.

Saya berserah dan sekiranya masih gagal saya tekad untuk tidak pulang ke Malaysia dan kepada teman wanita saya Anastasha (kini isteri) pun saya terpaksa ucap selamat jalan.

Benar Allah itu suka menguji hambaNya. Sebulan selepas itu Alhamdulilah lulus dengan keputusan lagi 5 markah untuk dapat distinction berbanding dengan markah yang hanya 48% sebelum ini.

Saya berprinsip jika sesuatu itu sememangnya hak kita maka ia memang hak kita.

Tutup cerita itu dan sekarang saya ingin menceritakan perjalanan untuk menyambung pengajian di peringkat PhD.

Kesemua proposal PhD yang telah saya buat berjumlah LAPAN kesemuanya. Ya 8 saya tidak tipu.

Kenapa begitu banyak dan asyik tukar? Alasannya kerana terpaksa menuruti geran dan kehendak penaja.

Selepas 5 hari pulang ke Malaysia, saya terus melapor diri di USM Pulau Pinang kerana mendapat tawaran bersyarat tajaan pengajian lanjutan di UK di bawah skim staf.

Namun…

Genap setahun, malangnya disebabkan keadaan ekonomi semasa tajaan saya terpaksa ditangguhkan. Gantung tidak bertali sepertinya.

Tempoh 1 tahun menjadi sia-sia. Walaupun sebenarnya bukanlah sia-sia kerana dapat juga pengalaman bekerja sambil menerbitkan artikel, bab dalam buku dan buku monograf.

Cumanya sekiranya saya telah memulakan pengajian PhD ini, sekarang saya sudah berada di tahun ke 2.

Diringkaskan cerita saya menukar strategi dengan mohon biasiswa lain. Kesemuanya 43 biasiswa dari dalam dan luar negara yang di mohon.

Beratus ringgit habis untuk permohonan yuran proses biasiswa sahaja. Tebal dokumen yang dihantar jika dinilai dapatlah 3 jilid tesis PhD.

Tetapi setiap kali dapat surat atau email keputusan tajaan, “we are sorry. You are good candidate but…” ataupun “maaf sila cuba lagi”. Satu pun tidak berjaya.

Percayakan jika saya katakan tiada apa yang bakal rugi jika kita terus berusaha tanpa berputus asa. Kenapa?

Selepas meninggalkan USM, kini saya diterima berkhidmat sebagai felo akademik di UUM. Cerita di UUM juga diuji beberapa kali.

 

Bagi orang lain pastinya mengatakan senangnya saya mendapat tawaran menjadi tenaga akademik. Tetapi hanya saya yang melalui liku-liku itu.

Saya ditemuduga sebanyak 2 peringkat pada bulan Mei dan Julai 2015 dan berjaya mendapat tawaran pada bulan Ogos 2015.

Namun selepas 3 bulan menunggu surat tawaran rasmi untuk melapor diri saya dimaklumkan bahawa tawaran kerja tersebut dibekukan walaupun surat keputusan temuduga telah dikeluarkan oleh kerana masalah kewangan pada masa ini.

Termenung lagi dibuatnya. Sehingga terpaksa saya berhadapan  dengan Timbalan Naib Canselor Akademik (TNCA) berkenaan dengan isu ini selepas beberapa bulan tiada khabar berita untuk melapor diri. Syukur (TNCA) bijak menyelesaikan isu ini dengan pantas.

Akhirnya 25 Januari 2016 saya mula melapor diri. Tujuan saya hanyalah satu iaitu untuk merealisasikan niat melanjutkan pengajian dibawah tajaan UUM di bawah skim cuti belajar staf.

Cumanya peluang ke luar negara pada masa itu agak tipis kerana saya diminta untuk mendapatkan biasiswa dari negara lain atau menyambung pengajian dalam negara bagi mendapatkan tajaan cuti sambung belajar dari UUM.

Selepas beberapa bulan barulah ada khabar berita di mana, saya mendapat tawaran biasiswa penuh daripada kerajaan Taiwan. Bukan satu tetapi TIGA sekaligus!

Satu daripada National Cheng Kung University, kedua daripada Kementerian Sains & Tekonologi Taiwan (MOST) dan Kementerian Pendidikan Taiwan (MOE).

Pening pula memikirkan untuk pilih. Kalau sebelum ini pening memikirkan untuk mendapat tajaan selepas 43 permohonan tidak berjaya.

Entah tiba-tiba juga Kementerian juga mengeluarkan tawaran untuk biasiswa pengajian lanjutan jika sebelum ini dibekukan.

Tetapi ini adalah kelompok yang terakhir yang dihantar dengan kuota 5 staf akademik dari setiap IPTA. Rezeki tidak disangka-sangka!

Saya cepat–cepat menghantar permohonan dengan meletakan surat tawaran pengajian dari University of Durham di UK (Hogwarts sekolah Harry Potter itu). Gembiranya permohonan di LULUSKAN!

Saya bukan pelajar yang cemerlang. Tidak pernah mendapat anugerah di sekolah di atas pencapaian akademik. Bahasa Inggeris saya juga bertaraf kampung, hanya mendapat skor B3 ketika SPM dan Band 4 untuk MUET.

Tetapi saya selalu memberanikan diri dalam mencapai sesuatu. Bagi saya kepandaian bukan faktor utama tetapi idea, kerajinan dan tawakal yang tinggi itu adalah faktor utama.

Pada setiap kali orang bertanyakan mengenai status biasiswa, saya tidak pernah mengatakan saya tidak dapat walaupun pada hakikatnya harapan pada waktu itu hanyalah 5 peratus.

Tetapi hari ini kebanyakan orang lebih suka berada di zon selesa, takut untuk melakukan sesuatu di luar normaliti dan hanya mengharap pada bantuan yang ada di depan mata sahaja.

Ada benda yang memang diluar jangkauan fikiran dan kekuatan kita tetapi yakinlah Allah tidak pernah tidur atau terlupa mendengar doa kita.

Oleh Mohd Muzzammil Ismail

LIKE dan FOLLOW infopelajar2u di Facebook dan Twitter