Peluang Bekerja Sambil Belajar

2699
views

Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan kerjasama Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UMCCed), Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM) dan DHS Hospitality Sdn Bhd melancarkan inisiatif pembangunan bakat muda berteraskan kepada konsep kerja dan belajar.

Inisiatif membabitkan Program Pembangunan Profesional itu dilaksanakan KLCC melalui majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang ditandata­ngani dengan ketiga-tiga pihak terbabit di sini, baru-baru ini.

Dr Sri Kumar (tiga dari kiri), Alon Pryor (kanan) bertukar MoU, baru-baru ini.

Pengurus Besar KLCC, Alan Pryor, berkata program 12 bulan itu akan mendedahkan peserta kepada pelbagai jabatan yang terdapat di KLCC menerusi latihan ala bilik darjah dan juga latihan sambil bekerja untuk memberi pe­ngetahuan asas kepada pelajar mengenai industri perniagaan dan peluang yang ada.

Beliau berkata, sejak dibuka pusat konvensyen itu memberi penekanan kepada latihan dan pembangunan yang memanfaatkan syarikat, industri, acara perniagaan dan juga negara.

Katanya, komitmen untuk membangun dan memupuk bakat itu bukan saja menyumbang kepada pertumbuhan dan kejayaan berterusan KLCC, malah pendekatan berkenaan juga bertujuan untuk memastikan pusat konvensyen itu kekal sebagai sebuah kemudahan bertaraf dunia.

“Selepas menerima akreditasi sebagai penyedia perkhidmatan latihan bertauliah daripada Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) tahun lalu, kami sentiasa berusaha mengukuhkan lagi program dan inisiatif latihan industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ke­­­­tika berucap pada majlis menandatangani MoU antara KLCC melalui Convex Malaysia Sdn Bhd (Convex) dengan DHS Hospitality Academy, MIHRM dan UMCCed, di sini.

Memiliki kemahiran

Pada majlis itu Convex diwakili oleh Alan, manakala DHS Hospitality Academy diwakili oleh Pengarah Kumpulan Sumber Manusia dan Latihannya, Dr Sri Kumar Sivakumaran, Naib Presiden dan Ketua Pegawai Operasi, Geh Thuan Hooi mewakili MIHRM dan Pengarah UMCCed, Prof Datuk Dr Mansor Md Isa.

Program pembangunan pro­­fesional itu terbuka kepada pelajar berusia 18 tahun ke atas yang akan mendapat pendedahan mengenai asas jualan dan pemasaran, penyenggaraan aca­­ra dan pengurusan bangunan, keselamatan makanan dan kebersihan, pengurusan kulinari dan pengawasan, pengurusan sumber manusia serta kemahiran komunikasi bahasa Inggeris bidang hospitaliti.

Modul berkenaan akan memberikan asas kukuh dalam segala aspek berkaitan pusat konvensyen dan pelajar yang berjaya menamatkan program berpeluang meneruskan kerjaya secara sepenuh masa di KLCC atau menyertai program duta anjuran pusat itu.

Sementara itu, Mansor berkata, program berkenaan adalah inisiatif menarik untuk menyediakan platform kepada peserta mendapatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran tambahan selain daripada kelayakan akademik sedia ada.

“Program ini juga memberi peluang lebih luas kepada peserta mendapat kerja memandangkan mereka memiliki kemahiran yang diperlukan majikan,” katanya.

LIKE dan FOLLOW infopelajar2u di Facebook dan Twitter