Pelajar UMK Temui Dua Butir Emas

194
views
Iklan Infopelajar2u

Pelajar Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang mengikuti ekspedisi kajian lapangan mendulang emas di Gua Musang tidak pulang hampa apabila berjaya menemukan butiran emas selain menimba pengalaman berharga.

Ketua ekspedisi, Wan Nur Atikah Wan Rusle, 21, yang juga pelajar tahun satu jurusan Sarjana Muda Pengajian Warisan FTKW berkata, dia tidak menjangka menjumpai dua butir kecil emas pada sesi percubaan pertama mendulang bersama fasilitator.

Sebahagian daripada 25 pelajar UMK menimba pengalaman mendulang emas secara tradisional di Gua Musang, Kelantan, kelmarin.

Apa lebih menarik, katanya, nilai emas yang ditemuinya dikatakan bernilai kira-kira RM40 iaitu melebihi modalnya membeli kuali RM16 untuk tujuan kajian lapangan itu.

Temui Hanya Dalam Masa 5 Minit

“Kami baru sahaja cuba mendulang tidak sampai lima minit dan tiba-tiba sahaja saya menjadi pelajar pertama menjumpai emas.

“Perasaan saya semasa melihat kilauan emas itu tentulah sangat seronok dan semangat saya membuak untuk mencari­nya lagi.

“Saya dan rakan-rakan rasa sangat teruja kerana jika sebelum ini kami belajar ekskavasi secara teori daripada buku sahaja tetapi praktikal di sini membantu kami menemui sesuatu berharga,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Seramai 25 pelajar FTKW UMK serta serta 20 pegawai termasuk sukarelawan dari Kelab Kembara 4×4 Kelantan mengikuti ekspedisi kajian lapangan mendulang emas secara tradisional di suatu kawasan di Gua Musang dari 27 April sehingga semalam.

Sementara itu, fasilitator program, Wan Nurul Fikri Wan Abdullah berkata, aktiviti mendulang lebih bergantung kepada faktor rezeki dan seorang pendulang perlu banyak bersabar.

Katanya, antara petua semasa mendulang adalah tidak boleh berbuat bising dan bangga diri jika menemui emas tidak kira sedikit mahupun banyak.

“Banyak kisah pelik kita boleh dengar daripada pengalaman pendulang, antaranya adalah kaki seolah ditarik-tarik sesuatu dari dalam air sungai pada saat menemui biji-biji emas.

“Ada juga kejadian pendulang dikelilingi anak-anak ular yang datang entah dari mana, sebab itu pendulang biasanya tidak lupa membanyakkan bacaan ayat-ayat pendinding untuk keselamatan diri,” katanya.

Artikel Penuh : Utusan Online