Pelajar Perubatan MSU Cipta Rekod Dalam Malaysia Book of Record

187
views
Iklan Infopelajar2u

Management & Science University (MSU) mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Record (MBR) dengan 10,983 penyertaan serentak dan terbesar dalam sesi pemeriksaan kesihatan.

Pemeriksaan kesihatan yang dijalankan sepanjang 24 jam bermula jam 8 pagi 26 April dan berakhir 28 April, diadakan sempena Hari Kesihatan Sedunia MSU.

Presiden MSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata, pelajar MSU dan MSU College menjalankan pemeriksaan kesihatan merangkumi tekanan darah, tahap gula, indeks jisim badan (BMI) dan tahap tekanan dalam diri.

“Pemeriksaan kesihatan ini berlangsung serentak di beberapa lokasi iaitu kampus MSU College (Shah Alam, Ampang, Seremban, Kota Bharu, Sabah, Sarawak), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Kampus Pesisir Antarabangsa MSU di Bangalore, Stesen Komuter Seremban, sekolah sekitar Lembah Klang dan kompleks beli-belah.

“Sehingga kini, MSU dan MSU College mencatat 31 rekod dalam MBR membabitkan pelbagai kategori. Pencapaian hari ini adalah sebahagian daripada aktiviti utama yang dijalankan bermula 25 April sehingga 27 April 2017,” katanya, hari ini.

Mohd Shukri berkata, objektif program bertujuan melahirkan mahasiswa yang dilengkapi budaya kecemerlangan, kompeten, versatil dan berketrampilan.

“Ia juga merapatkan hubungan antara warga kampus dan masyarakat serta menerapkan semangat kesukarelawan dalam kalangan pelajar MSU.

“Malah, pelajar berpeluang berkongsi ilmu pengetahuan serta memperkasakan kemahiran insaniah melalui pembabitan program khidmat komuniti,” katanya.

Sementera itu, Pengarah Program, Malvinder Singh, 24, melahirkan rasa bangga dengan pencapaian semua pelajar MSU dan MSU College dalam menjayakan program kesedaran mengenai kesihatan itu.

“Dengan bertemakan ‘Melawan Kemurungan’, ia juga bertujuan memberikan kesedaran kepada warga kampus khasnya dan masyarakat mengenai kepentingan amalan gaya hidup sihat.

“Kita mahu masyarakat menghentikan stigma mengenai kemurungan kerana ia bukan sejenis penyakit, sebaliknya mereka perlu dibantu dengan cara betul seperti memberi perhatian dan mendengar luahan.

“Sehari sebelum program iaitu pada 25 April, kami adakan acara ‘Cardiac Night Run 2.0’ dan ‘Sembang Pendidikan Perubatan dengan Pakar’ oleh perunding psikiatri, Profesor Zulkifli Ghaus,” katanya.

Program dianjurkan bersama Sekolah Perubatan Antarabangsa (IMS), Fakulti Kesihatan dan Sains Kehidupan (FHLS) dan School of Pharmacy serta mendapat kerjasama Persatuan Pelajar Sekolah Perubatan Antarabangsa (IMSA).

Sumber : Berita Harian