PDP ILTIZAM Ekuinas Bantu Graduan Dapat Pekerjaan

1701
views

Program Pembangunan Profesional (PDP) ILTIZAM anjuran Ekuinas, platform terbaik membentuk modal insan negara yang berdaya saing, sekali gus persediaan melengkapkan graduan dengan pelbagai kemahiran untuk pasaran kerjaya.

Baca : Bidang AMP Dapat Permintaan Tinggi

Pengarah Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Ekuiti Nasional Berhad, Hizwani Hassan, berkata program itu bertujuan meningkatkan tahap kemahiran dan kebolehpasaran graduan Bumiputera di samping mengutamakan mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah.

Beliau berkata, program berkenaan antara lain untuk melahirkan individu berkemahiran tinggi, termasuk memilki daya ketahanan fizikal yang kuat dan bijak menangani cabaran dunia sebenar.

Pengarah Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Ekuinas Iltizam, Hizwani Hassan (tiga kiri) bersama peserta ketika temubual di Menara Surian, Petaling Jaya. NSTP

Katanya, sejak pelancarannya pada 2012, PDP terus menunjukkan peningkatan memberangsangkan apabila kira-kira 80 peratus daripada peserta yang mengikuti program ini memperoleh pekerjaan tetap
selepas tamat latihan.

“Peserta perlu menjalani latihan intensif 12 bulan membabitkan kemahiran perniagaan dan pengurusan, pembangunan kepemimpinan, kursus bahasa Inggeris serta komunikasi di samping ketahanan fizikal, bimbingan dan pementoran.

“Had umur maksimum peserta program ini ialah 27 tahun dan mereka juga akan diberi gaji RM 2,500 sebulan,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Bantu Graduan Muda

Hizwani berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menyasarkan 75 peserta tahun ini turut mendapat sambutan mengalakkan, iaitu sebanyak 3,000 permohonan diterima tahun lalu.

“Fokus kami adalah membantu graduan yang tidak memperoleh pekerjaan selepas enam bulan tamat pengajian. Tahun ini, tumpuan akan diberikan kepada Bumiputera di Sabah dan Sarawak dengan sesi pemilihan dilakukan di Sabah.

“Kami mahu pastikan peserta memanfaatkan segala perkongsian yang diperoleh sebaiknya, terutama dalam kerjaya mereka kelak. Pada masa sama, kami terus komited membantu mereka mendapatkan pekerjaan sewajarnya,” katanya.

LIKE dan FOLLOW infopelajar2u di Facebook dan Twitter