MARA Harap Peruntukan Tidak Terjejas Dalam Bajet 2017

193
views
Iklan Infopelajar2u

KUALA LUMPUR : Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengharapkan peruntukan dalam Bajet 2017 untuk pembiayaan pelajaran di bawah agensi itu tidak terjejas, terutama bagi pembiayaan pelajaran dan pembangunan usahawan.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata MARA faham dengan situasi yang dihadapi negara kini agak sukar dan banyak peruntukan terpaksa dihadkan.

“Kita mengharapkan berita baik pada pembentangan bajet kali ini yang dapat membolehkan MARA menyemarakkan ekonomi pada 2017, terutama membabitkan pembiayaan pelajaran dalam dan luar negara.

“MARA juga berharap dapat menyegarkan ekonomi negara dengan melahirkan lebih ramai usahawan dan berharap dapat menyediakan pelbagai insentif dan program untuk usahawan.

“Dalam keadaan ekonomi negara yang sukar ini, MARA ada peranan membantu kerajaan iaitu menyemarakkan ekonomi domestik menerusi program pembangunan usahawan,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani persefahaman dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Ibu Pejabat MARA, hari ini.

Annuar berkata, MARA bekerjasama dengan SPRM sejak 2012 untuk mencegah rasuah bukan untuk kakitangan MARA saja tetapi membabitkan pelajar di bawah Institusi Pelajaran MARA dan Maktab Rendah Sains MARA.

Beliau berkata, sekiranya ada antara kakitangan MARA yang terbabit dengan rasuah, MARA tidak teragak-agak untuk bertindak.