Makmal Berteknologi UTeM Jadi Rujukan Ramai

179
views
Iklan Infopelajar2u

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) melalui Pejabat Pengurusan dan Perhubungan Canselori (PPPC) berbesar hati dalam menerima lawatan daripada Sekolah Menengah yang berminat untuk menjadikan UTeM sebagai lokasi pilihan pendidikan tinggi para pelajar selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelak.

Menurut Pengarah Pejabat Pengurusan dan Perhungan Canselori (PPPC), Fazidah Ithnin menyatakan bahawa, UTeM merupakan sebuah Universiti Teknikal Awam berprestij di negeri Negara ini sentiasa mengalu-alukan penyertaan dari sekolah di seluruh Malaysia dalam menjadikan UTeM sebagai sebuah destinasi pilihan dalam rangka lawatan sambil belajar.

“Setiap lawatan yang diterima, salah satu dari pengisian yang diterapkan adalah dorongan dan semangat kepada para pelajar untuk menyambung pengajian dan bagi yang berkelayakan, mereka boleh memilih untuk melanjutkan pengajian di UTeM. Terdapat empat bidang utama yang ditawarkan oleh UTeM kepada para pelajar iaitu kejuruteraan, teknologi kejuruteraan, pengurusan teknologi & teknousahawan dan juga teknologi maklumat dan komunikasi”, ujar beliau lagi.

Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar Al Baqir, Bagan Serai, Perak dalam rangka lawatan ke Melaka turut memilih Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) UTeM yang terletak di Kampus Teknologi, Ayer Keroh sebagai destinasi pilihan bagi memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai pengajian yang bakal di lalui mereka selepas tamat persekolahan.

Antara keunikan yang terdapat di FTK UTeM adalah rangkaian makmal-makmal berteknologi tinggi yang dilengkapkan dengan peralatan berteknologi tinggi berspesifikasi dunia dan dikatakan sebagai rangakaian makmal terbanyak jika dibandingkan dengan seluruh institusi pengajian tinggi dalam negara ini kerana ianya menyahut saranan dan seruan pemartabatan pendidikan berteras majukan pendidikan teknikal negara.

Lawatan yang terdiri daripada 4 orang guru pengiring bersama 35 orang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini telah di bawa ke pelbagai fasiliti dan makmal di sekitar FTK selepas diberikan taklimat umum mengenai UTeM termasuklah syarat kemasukan, lokasi kampus-kampus UTeM dan pelbagai prasarana yang disediakan oleh UTeM untuk kegunaan para pelajar.

Di samping itu juga, para pelajar turut diberikan taklimat daripada wakil fakulti yang merupakan ahli akademik UTeM merangkap tenaga pengajar di FTK. Taklimat fakulti memberikan pendedahan kepada para pelajar berkenaan konsep pembelajaran moden dengan teknologi semasa yang di praktikkan di UTeM.

Konsep pembelajaran moden berteknologi semasa tersebut merupakan salah satu daripada kelebihan UTeM dan ianya juga merupakan perbezaan di antara UTeM berbanding universiti awam lain yang memfokuskan kepada bidang kejuruteraan dan teknologi kejuruteraan.

Para pelajar turut dibawa melawat ke makmal-makmal berteknologi tinggi FTK untuk memberi peluang kepada pelajar untuk melihat sendiri kecanggihan dan teknologi yang diguna pakai oleh UTeM. Diantara makmal yang dilawati termasuklah Makmal Kawalan Industri Fasa 2 dan Makmal Teknologi Pembuatan Termaju termasuklah Studio CNC Fasa 1.

UTeM turut menerapkan konsep pengajaran secara hands-on dimana ia merupakan pembelajaran secara teori dan praktikal yang mana waktu aktiviti kuliah dan aktiviti makmal adalah setara bagi membantu para pelajar mengaplikasikan apa yang difahami di dalam kelas. Terdapat hampir 101 makmal di wujudkan di FTK bagi merealisasikan konsep hands-on untuk membantu para pelajar mengekalkan momentum kecemerlangan.