Kurikulum Bersepadu Tahfiz menjelang 2025 di Negeri Sembilan

395
views
Iklan Infopelajar2u

Kurikulum Bersepadu Tahfiz akan dilaksanakan di semua Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan pondok tahfiz di Negeri Sembilan menjelang tahun 2025, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata cadangan itu dibuat berikutan terdapat permintaan yang tinggi daripada ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke sekolah tahfiz sehingga banyak pondok tahfiz ditubuhkan.

“Kerajaan memikirkan tentang masa depan anak-anak di pondok-pondok tahfiz , kerana di sana mereka hanya memfokuskan ilmu tahfiz dan tidak mempelajari mata pelajaran asas yang lain.

“Bukan saya katakan mereka tidak mempunyai masa depan, tetapi adalah lebih baik jika mempelajari subjek-subjek lain yang akan mendatangkan tambah nilai kepada anak-anak dan juga masyarakat,” katanya pada majlis perasmian Surau Imam As-Shafie, Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu di sini, hari ini. Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri Labu Datuk Hasim Rusdi.

Pengetua Cemerlang SMAP Labu Dr Abd Jalil Ahmad berkata surau berkenaan yang dibina di tapak berkeluasan 0.4 hektar dengan kos pembinaan RM1.5 juta, mempunyai kapasiti 1,000 jemaah.

Surau ini yang mula digunakan sejak Februari tahun ini turut mendapat kebenaran daripada mufti negeri untuk menunaikan solat Jumaat, katanya. –Bernama