KPT Menggalakkan Mahasiswa Perkaya Bahasa Melayu

253
views

SHAH ALAM – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tekad melaksanakan usaha bagi menggalakkan ahli akademik, mahasiswa dan warga universiti memperkaya serta memperluas penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai disiplin ilmu.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Dr Mary Yap Kain Ching berkata hasil penjenamaan semula Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institusi Pengajian Tinggi (2011-2015), satu pelan tindakan dihasilkan bagi memastikan usaha pemartabatan bahasa Melayu terus diperjuangkan.

“Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Universiti Awam (UA) (2016-2020) telah menggariskan empat objektif utama.

“Ia bagi memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, menghasilkan graduan berketerampilan dalam Bahasa Melayu, merealisasikan bahasa Melayu sebagai wadah pembangunan negara dan mengantarabangsakan Malaysia sebagai pusat rujukan ilmu Alam Melayu,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan 2016 di sini, hari ini.

Pada majlis sama, beliau melancarkan Pelan Tindakan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di universiti awam (2016-2020) serta menyampaikan Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2016 kepada pensyarah Universiti Sains Malaysia Prof Noriah Mohamed yang mempunyai kepakaran dalam bidang Sosiolinguistik serta Linguistik Sejarah dan Perbandingan bahasa Austronesia.

Mengulas lanjut, Yap berkata konsep bahasa Melayu sebagai ‘bahasa ilmu’ mula diperkenalkan pada 1970-an dan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 18 Mei 1970 merupakan iltizam awal mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu selepas negara mencapai kemerdekaan.

Usaha mengembangkan peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu diteruskan dengan penyelarasan istilah bahasa Melayu melalui Jawatankuasa Penyeragaman Sistem Ejaan Malaysia-Indonesia yang dilaksanakan pada 1972.

“Selaras dengan usul Penyata Razak 1956 dan Penyata Abdul Rahman Talib 1960 serta Akta Pendidikan 1961 dan kemudian Akta Pendidikan 1996, bahasa Melayu sehingga kini telah berjaya menjadi bahasa pengantar ilmu yang utama dari peringkat sekolah rendah hingga pusat pengajian tinggi dalam pelbagai bidang ilmu,” katanya.

Yap berkata di Malaysia, dasar bahasa pendidikannya amat jelas iaitu peranan bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama bagi semua sistem
pendidikan formal peringkat sekolah rendah kebangsaan, menengah serta pendidikan tinggi dan pengiktirafan ini telah diwartakan dalam Akta Pendidikan 1961.

Mengenai Bulan Bahasa Kebangsaan, beliau berkata sambutan yang diadakan saban tahun merupakan satu daripada langkah besar-besaran yang seharusnya mendapat sambutan menyeluruh daripada semua rakyat negara ini.

“Semangat cinta akan bahasa Melayu serta perjuangan memperkasakannya diharap akan meresap ke seluruh jiwa rakyat melalui program dan aktiviti dianjurkan.

“Penganjuran karnival bahasa selama sehari seperti ini sememangnya merupakan inisiatif terbaik dalam menarik pelbagai golongan terutama golongan belia mendedahkan diri dengan ilmu dan kefahaman berkaitan bahasa Melayu melalui pelbagai aktiviti menarik seperti sesi bual bicara santai, permainan bahasa serta pelbagai pameran yang diadakan,” katanya.- Bernama