Keputusan Menghentikan Elaun PISMP Belum Muktamad

246
views
Iklan Infopelajar2u

Kementerian Pendidikan masih belum memuktamadkan keputusan untuk menghentikan elaun bagi pelajar pengajian Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru (IPG) yang bermula Jun tahun depan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya masih mengkaji perkara itu dan keputusan mengenainya akan diumumkan dalam tempoh dua bulan lagi.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berucap pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan Kebangsaan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia Ke-35 di Butterworth, hari ini. – Foto Amir Irsyad Omar

“Kita akan mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara ini dan saya akan mengeluarkan kenyataan mengenainya dalam tempoh terdekat.

“Ia belum diputuskan, malah perbincangan dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masih sedang berjalan. Jadi beri kita masa untuk menjalankan kajian,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Kebangsaan Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia Ke-35 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan dalam kenyataan memaklumkan elaun bagi pelajar pengajian PISMP di IPG akan dihentikan bermula Jun tahun depan.

Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan memaklumkan yuran pengajian bagi program itu berjumlah RM27,831 akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan sepanjang tempoh pengajian selama empat tahun.

Sumber : Berita Harian