Kepakaran TVET UTeM Menjadi Rujukan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC)

120
views

Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus melebarkan sayap kecemerlangan dalam bidang akademik, penyelidikan dan inovasi yang mana bukan hanya dalam negara sahaja malah turut memberi impak kesannya di peringkat dunia.

Antara yang menyerlah UTeM selaku institusi kecemerlangan ilmu yang terus diiktiraf dunia apabila Naib Canselor UTeM Profesor Datuk Dr Shahrin bin Sahib telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengurusan Islamic University of Technology (IUT) Dhaka Bangladesh.

IUT Dhaka Bangladesh merupakan sebuah institusi pendidikan dan penyelidikan yang beroperasi melalui saluran dana dari Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC).

Malaysia antara negara yang turut sama bergiat aktif dalam OIC ini dan tidak terkecuali dalam menyaklurkan dana dan sumbangan kepada IUT demi kelestarian bersama.Antara objektif utama penubuhan IUT adalah untuk menyumbang kepada pembangunan sumber manusia negara-negara anggota OIC, terutamanya dalam bidang kejuruteraan, teknologi dan pendidikan teknikal.

UTeM wakil Malaysia Untuk Program TVET

Platform ini sekaligus meletakkan UTeM selaku wakil Malaysia dalam turut sama menjayakan agenda peringkat antarabangsa dalam memajukan teknolgi menerusi Pendidikan serta Latihan Teknikal & Vokasional (TVET) yang bertaraf dunia.

Sehubungan itu Dr Shahrin berkata, penglibatan beliau di IUT ini antaranya adalah mengukuhkan lagi kaedah dan sistem serta amalan dalam proses tadbir urus dan pengurusan di sini.

Tambah beliau, pengalaman TVET di UTeM akan diaplikasikan dalam membantu IUT ke arah pembangunan dan kemampanan sumber manusia serta teknologi yang terkini dalam pengajaran dan penyelidikan di sana.

“Senario ini menggambarkan bahawa kemampanan UTeM dan Malaysia dalam memperhebatkan TVET terus relevan dan berimpak besar bukan hanya dalam negara malah menerusi OIC”, ujar beliau ketika ditemui pihak media di Kampus Induk UTeM selepas beliau selamat tiba dari Dhaka Bangladesh semalam bagi menghadiri mesyuarat pengurusan di IUT.