Graduan Perlu Bersedia Menghadapi Revolusi Perindustrian Ke-4

56
views

Graduan institusi pengajian tinggi diingatkan untuk bersedia menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat kerana dunia pekerjaan dan kehidupan kini akan dikuasai oleh teknologi dengan bantuan robotik.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, bertitah bahawa realiti kehidupan yang begitu mencabar memerlukan semua pihak untuk berfikiran terbuka, bertindak mengikut nilai dan norma budaya yang berteraskan agama.

SULTAN Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bersama Sultanah Kedah, Tengku Maliha Tengku Ariff serta Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Yusof bergambar bersama barisan kepimpinan Universiti Utara Malaysia (UUM) pada sesi pertama Majlis Konvokesyen ke-30 Universiti Utara Malaysia (UUM di Dewan Muadzam Shah, Sintok

“Mungkin masih ramai yang pertama kali mendengar akan Revolusi Perindustrian Keempat ini, yang kini menjadi agenda kerajaan dan negara ini.

“Secara umumnya, Revolusi Perindustrian Keempat, memudahkan kehidupan manusia dengan bantuan robotik.

“Namun, manusia harus bersiap sedia, kerana pekerjaan dan kehidupan mereka akan dikuasai oleh teknologi ini,” titah baginda pada sesi pertama Majlis Konvokesyen ke-30 Universiti Utara Malaysia (UUM di Dewan Muadzam Shah, di sini, pagi tadi.

Pada sesi pertama itu juga, UUM mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (PhD) kepada Pengarah Urusan Epic Valley Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Dr Fng Ah Seng (PhD Tanggungjawab sosial Korporat) dan Datuk Redzuawan Ismail atau Cef Wan (PhD Seni Kulinari).

Baginda yang juga Canselor UUM, bertitah masyarakat perlu bersedia untuk menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat, di mana sistem pendidikan perlu disusun selari dengan agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Kementerian Pendidikan Tinggi sedang merangka dasar pendidikan tinggi bagi menjadikan Malaysia berdaya saing serta menjadi hub di rantau Asia Tenggara, kepada Revolusi Perindustrian Keempat ini.

“Pelaburan besar dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlu dilakukan menerusi gabungan dan kerjasama oleh pihak universiti dan industri.

“Beta percaya pihak UUM mampu menjadi pemangkin dan penggerak untuk merealisasikan hasrat ini,” titah baginda.

Sumber : Berita Harian