4 Persediaan Utama Graduan Untuk Menempuh Pasaran Kerja

8451
views
Iklan Infopelajar2u

Setiap orang mempunyai matlamat dalam bidang kerjaya. Walaupun kerjaya dalam bidang idaman dengan gaji yang besar menjadi impian ramai graduan, namun para graduan haruslah bersifat realistik. Amat sukar untuk mendapat kerja idaman pada gaji besar pada tahun pertama anda mencari kerja.

Tidak semudah itu para syarikat akan menawarkan gaji yang besar kepada fresh graduate. Ditambah pula dengan persaingan mencari kerja yang semakin sengit, amatlah perlu bagi seseorang graduan untuk meningkatkan nilai diri dan mempunyai pelbagai persiapan yang penting untuk menempuh alam pekerjaan.

PERSEDIAAN TEKNIKAL TEMUDUGA

Persediaan pertama yang perlu dimiliki oleh para graduan adalah aspek-aspek teknikal dalam menghadapi temuduga. Oleh kerana temuduga adalah jalan paling popular dan wajib dilakukan oleh para majikan dalam menilai calon-calon pekerja mereka, maka ilmu persediaan menghadapi temuduga adalah ilmu yang sangat penting.

Bagi sesetengah orang mungkin menganggap bahawa ilmu temuduga adalah ilmu yang biasa-biasa asalkan mempunyai latar belakang akademik yang kuat dan berani menonjolkan diri, maka mudah untuk melepasi proses temuduga. Jawapan saya, anda silap. Ilmu temuduga perlu dipelajari dengan betul, lebih-lebih lagi kerana setiap majikan sentiasa mahukan pekerja atau kakitangan terbaik untuk syarikat mereka.

Ilmu persiapan menghadapi temuduga bukan sekadar berkaitan dengan penampilan dan pakaian ketika menghadapi temuduga, tetapi juga berkaitan jenis-jenis soalan yang kerap ditanya ketika ditemuduga, bagaimana menjawab soalan-soalan temuduga yang diajukan dengan betul dan bagaimana bercakap yang lebih menonjolkan diri anda.

PENGUASAAN ILMU BAHASA

Persiapan kedua yang harus dilakukan oleh para graduan adalah memperbaiki bahasa Inggeris dan menajamkan kemahiran bercakap.

Di era moden yang semakin menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa untuk berhubung dengan dunia luar atau dalam konteks mencari maklumat, maka bahasa ini semakin menjadi kayu ukur dalam menilai para graduan yang memohon kerja. Akhirnya, graduan-graduan yang lebih menguasai bahasa Inggeris akan diberi keutamaan walaupun bidang kerjanya tidak berkaitan dengan bahasa Inggeris secara langsung.

Boleh dikatakan bahasa Inggeris sebagai pelengkap kepada seseorang calon. Amatlah malang jika ketika belajar di universiti dahulu ada belajar bahasa Inggeris tetapi tidak pula dapat menguasainya dengan baik.

Penulis bukanlah berhasrat menidakkan bahasa ibunda negara kita, namun tujuan bahasa Inggeris dikuasai adalah bertujuan mempertingkatkan nilai dan keboleh kita di hadapan bakal majikan kita.

TANAM MINDSET “PEKERJA”

Persediaan ketiga yang sewajarnya dimiliki oleh para graduan sebelum memasuki alam pekerjaan adalah mindset yang betul.

Mindset atau bahasa tempatannya bermaksud cara fikir itu akan menentukan cara bertindak. Harus diingat bahawa tindakan yang salah bertitik tolak dari cara berfikir yang tidak tepat malah hanya tidak berpijak di bumi yang nyata.

Suka penulis sebutkan di sini bahawa menganggap kerja sebagai sekadar tempat mendapat duit dan menjadi hamba kepada syarikat semata-mata, adalah tanggapan yang salah. Kelak ia hanya akan melahirkan pekerja atau kakitangan yang hanya bekerja dengan melepaskan batuk di tangga.

Sikap tidak bersungguh ketika bekerja adalah kerana memikirkan duit semata-mata, sedangkan seorang pekerja atau bakal pekerja seharusnya memiliki cara berfikir atau mindset yang betul.

Seharusnya seorang graduan memahami bahawa pekerjaan adalah satu perkara untuk meningkatkan kualiti anda sebagai penyumbang kepada syarikat. Dengan meningkatkan kualiti kerja dan mempelajari benda baru di tempat kerja, anda bukan sekadar akan semakin disukai oleh majikan tempat anda bekerja, anda juga menaikkan ‘saham’ anda untuk mendapat pekerjaan lain yang lebih bagus.

Selain itu, haruslah difahami bahawa pekerjaan adalah salah satu cara memperolehi keuntungan dan faedah bersama. Yang dimaksudkan adalah anda bekerja sebaik mungkin akan dibayar dengan setimpal, dan syarikat mendapat perkhidmatan anda untuk menaikkan lagi potensi syarikat tersebut. Hasil kerja anda yang bersungguh-sungguh sebenarnya akan melancarkan perjalanan syarikat dan mungkin meningkatkan prestasi syarikat.

Kelak apabila syarikat bertambah maju, anda juga yang akan mendapat manfaat kelak sama ada dalam bentuk kenaikan pangkat, pertambahan bonus mahupun mengekalkan anda sebagai salah seorang kakitangan yang paling berharga dalam syarikat tersebut.

Apa yang penulis tekankan di sini adalah pentingnya melihat pekerjaan sebagai tempat meningkat kemahiran diri, menambah kualiti yang ada dan mencerahkan masa depan anda bersama syarikat. Mindset cara fikir yang salah hanya akan membuatkan anda tidak mahu berusaha bersama-sama membangunkan syarikat tempat anda bekerja.

PERSEDIAAN MENTAL MENGHADAPI ALAM KERJA

Persediaan keempat atau persediaan terakhir yang seharusnya dilakukan oleh para graduan adalah persediaan mental.

Mental dan emosi yang tidak bersedia untuk bekerja hanya akan mengundang masalah ketika bekerja seperti sentiasa merungut, tidak suka dengan kerja dan sentiasa mudah kalah dengan cabaran ketika bekerja.

Namun, bukanlah maksud penulis untuk graduan berehat semahu-mahunya selepas tamat pengajian, tetapi mesej yang ingin disampaikan adalah ~ para graduan hendaklah sentiasa menajamkan persediaan mental, mendapat rehat yang cukup dan bersedia bahawa dunia pekerjaan amatlah mencabar.

Antara cara untuk membuat persediaan mental dan emosi adalah dengan mengetahui cabaran-cabaran yang selalui dihadapi oleh para senior yang sudah bekerja, sentiasa mendapat rehat yang cukup sebelum bekerja dan mula memperlahankan aktiviti-aktiviti hiburan yang berlebihan yang boleh menjejaskan tahap prestasi kerja anda kelak. Adalah dibimbangi ketika sudah mendapat pekerjaan, kita masih terikut-ikut dengan budaya lama dulu yang banyak melepak, banyak berkaraoke hingga larut malam dan bermain games tanpa mengira masa.

Dengan mula berfikir matang dan mula lebihkan fokus kepada alam pekerjaan, anda akan mula dapat menyesuaikan diri dalam dunia kerjaya serta dapat bekerja dengan bahagia dan gembira.

Kesimpulannya, persediaan demi persediaan yang penulis telah sebut dalam petikan-petikan sebelum ini menggambarkan bahawa dunia kerjaya adalah dunia yang serius. Ia memerlukan kesungguhan dan komited dalam menyiapkan tugasan.

Namun, janganlah melihat ia sebagai tekanan atau perkara yang membebankan, sebaliknya anggaplah ia cabaran untuk mematangkan diri dan mempersiapkan anda ke fasa yang lebih jauh seperti alam perkahwinan, mengembangkan harta dan memiliki kehidupan yang lebih selesa untuk dunia dan akhirat.

Salam maju jaya dari penulis untuk para graduan sekalian.

LIKE dan FOLLOW infopelajar2u di Facebook dan Twitter