10 Tips Kewangan Untuk Graduan

133
views

Bagi graduan yang bakal menamatkan pengajian di universiti, anda harus bersiap sedia bukan sahaja untuk mencari kerja, tetapi untuk merancang kewangan.

Hanya dengan merancang kewangan anda boleh menyusun strategi yang baik untuk menyimpan dan membeli di masa yang akan datang. Tips kewangan untuk graduan ini boleh mengelakkan anda daripada membazir wang.

kewangan pelajar

1. Berhenti berharap

Bila anda baru bekerja, usah berharap anda akan dapat menaiki kereta mewah, rumah mewah, makan di restoran mewah dan membeli barang atau pakaian berjenama mewah. Simpan wang anda untuk kecemasan, kehendak ditangguhkan dahulu.

2. Cari penasihat / Buku panduan

Bertanyalah kepada mereka yang mempunyai pengalaman untuk menguruskan wang dengan lebih efektif. Bukan dari mereka yang berbelanja tanpa ilmu. Jika tidak mampu, anda boleh dapatkan buku-buku kewangan yang ada di kedai buku. Pastikan ianya ditulis oleh penasihat kewangan yang berpengalaman.

3. Objektif kewangan yang jelas

Untuk mencapai kebebasan kewangan, anda harus belajar dari mereka yang benar-benar mempraktikkan ilmu kewangan, bukan sekadar cakap sahaja. Contohnya, anda harus belajar ilmu rumah sewa dari mereka yang memiliki rumah sewa.

4. Kumpul pengalaman

Anda masih muda, cari pengalaman kerja yang boleh memandaikan anda. Ilmu yang anda harus pelajari bukan sekadar wang sahaja, tetapi perniagaan, pelaburan dan pengurusan.

5. Kerja di syarikat yang baru bermula

Biasanya syarikat seperti ini baru sahaja ditubuhkan. Lihat bagaimana pengurusan pentadbiran dilakukan. Kemudian bergeraklah perlahan-lahan bekerja di syarikat yang lebih besar. Dari situ anda boleh merancang bagaimana untuk menguruskan syarikat sendiri.

6. Simpan aset

Aset adalah sesuatu yang boleh memberikan aliran tunai yang positif. Jika anda memiliki rumah sewa tetapi tidak mendatangkan lebihan tunai, maka ia bukanlah aset lagi. Wang anda berkurangan kerana menanggung sebuah liabiliti.

7. Melawan arus

Jika ramai orang membazirkan wang, anda usah terikut dengan sikap sebegitu. Anda teruskanlah usaha menyimpan wang. Bila sudah banyak, anda boleh laburkan wang tersebut dalam unit amanah atau gunakan untuk deposit membeli rumah.

8. Elakkan berhutang

Anda sudah ada hutang belajar seperti PTPTN. Usah meminjam wang untuk memulakan bisnes. Guna apa yang ada dalam diri anda. Hutang bisnes hanyalah untuk membesarkan perniagaan. Bila anda membeli rumah, pastikan hutang yang dibuat mampu dilunaskan setiap bulan.

9. Uruskan masa dengan baik

Anda ada 24 jam sehari. Penuhi waktu tersebut supaya masa yang ada tak dibazirkan dan diisi dengan perkara-perkara yang bermanfaat. Selepas balik kerja, isi masa anda untuk belajar cara-cara menambah pendapatan dan menggandakan simpanan anda. Ambil inisiatif untuk hadir ke seminar atau bengkel yang boleh membantu anda menjana dan menguruskan pendapatan.

Baca : Cara Buat To-Do-List Yang Efektif

10. Bercita-cita tinggi

Katakan anda bermula dengan kerja makan gaji. Satu hari nanti anda bercadang untuk menubuhkan syarikat sendiri. Mulakan dengan Enterprise, diikuti dengan Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) dan seterusnya Sendirian Berhad (Sdn. Bhd.).

Bermula dengan anda seorang, kemudian mengambil 5 orang pekerja seterusnya mempunyai lebih 50 orang pekerja. Tidak salah kerja makan gaji, tetapi biarlah kerja dengan syarikat sendiri supaya anda boleh membantu orang lain mendapat sumber pendapatan dan berkongsi rezeki dengan anda.

Kesimpulan

Dari seorang graduan yang tidak memiliki apa-apa pekerjaan, anda mampu mengubah nasib anda dengan mendapat kerja yang stabil. Dari situ anda boleh belajar untuk jadi pengurus yang boleh membina syarikat sendiri dan menjadi pemimpin untuk membina kerjaya orang lain.