10 Sebab Mengapa Jurusan Senibina Mungkin BUKAN Untuk Anda

Nota Editor : Artikel ini ditulis oleh Azari Mat Yasir, iaitu Pensyarah Senibina di Universiti Teknologi Malaysia

47378
views
Iklan Infopelajar2u

Saban kali profesyen arkitek dikhabarkan sebagai profesyen yang berprestij, elitist, berpendapatan mewah dan berketrampilan tinggi.

Walaupun ramai yang teruja untuk menceburi bidang ini, pada hakikatnya ramai yang gugur kerana jurusan senibina tidaklah seperti yang disangka.

Baca : Panduan Untuk Kursus Architecture

Artikel ini merungkai 10 sebab mengapa jurusan ini mungkin tidak sesuai untuk anda!

Artikel ini ditujukan kepada kepada pelajar, bakal pelajar, ibubapa atau mereka yang kenal sesiapa yang nampak berminat di dalam jurusan senibina.

Harap sampaikan kepada mereka, supaya mereka dapat gambaran yang lebih jelas dan dapat membuat keputusan yang tepat.

1. Nak Cepat Bekerja dengan Gaji yang Lumayan

Secara umumnya, tidak susah untuk mendapatkan pekerjaan di dalam bidang ini. Namun begitu, harus diingat, kerjaya sebagai seorang arkitek memerlukan anda untuk mengikuti pengajian selama 5 tahun (3 tahun sarjana muda + 2 tahun sarjana).

Itu tak termasuk sebarang kelayakan pra-universiti seperti STPM, matrikulasi dan sebagainya.

Bandingkan dengan 3-4 tahun bagi jurusan-jurusan lain, yang mana anda boleh mula bekerja seawal 22-23 tahun. Arkitek, seperti Doktor, memerlukan latihan yang panjang dan berterusan. Ini menyebabkan tempoh pengajiannya lebih panjang dari yang lain-lain.

senibina
Orang lain dah balik. Kau masih di ofis. Gaji lumayan? Tak sangat kot. – Foto oleh Amir Khaidzir

Dan walaupun anda berjaya menamatkan pengajian, kerjaya sebagai seorang arkitek memerlukan kesabaran. Gaji lumayan yang anda bayangkan selama ini hanya akan diperoleh setelah 8-10 tahun bekerja.

Ini kerana bidang ini mementingkan pengalaman – lebih banyak pengalaman, lebih tinggi ganjarannya.

Kembali kepada persoalan yang asal: Sekiranya memperoleh pekerjaan secepat yang mungkin dengan gaji yang lumayan adalah sasaran anda, jauhi bidang ini kerana anda pasti akan kecewa.

2. Inginkan Kerjaya Yang Glamor dan Selesa di dalam Pejabat

Jangan Harap. Kerjaya ini nampak glamor kerana ia banyak berkait dengan imej. Klien banyak tertarik kepada imej positif, berkeyakinan dan berjaya, jadi para arkitek sentiasa memastikan penampilan mereka bergaya dan menarik. Pada hakikatnya, kerjaya ini penuh dengan stress, bertegang urat dan tak tidur malam.

senibina
Cuba tanya dia menyesal tak pilih seni bina sekarang?

Arkitek juga tak selalu bekerja di pejabat. Mereka juga kerap turun ke tapak, sama ada tapak yang belum diteroka atau tapak pembinaan.

Kerap kali arkitek menghabiskan masa berunding dengan klien, perunding lain (jurutera, jurukur bahan, pereka dalaman), pembekal dan sebagainya di luar pejabat. Kalau tak bersedia untuk bermandi peluh di tapak pembinaan, meneroka hutan belukar untuk mencari lokasi terbaik, bertekak dengan perunding dalam dewan mesyuarat, bergaduh dengan kontraktor di tengah panas, mungkin ini bukan kerjaya yang anda cari.

Jangan percaya sangat drama TV tu.

3. Sebenarnya Tak Minat dan Bukan Pilihan Sendiri

Walaupun nampak remeh, tapi percayalah, perkara ini banyak berlaku. Banyak jurusan di luar sana menawarkan peluang pekerjaan yang baik tanpa memerlukan minat atau kebolehan yang khusus. Namun senibina BUKAN satu darinya.

Senibina memerlukan minat yang mendalam dan berterusan. Ia bukan satu minat yang boleh disemai seminggu sebelum mengisi borang UPU. Walaupun seseorang itu pandai memasak tak semestinya dia suka memasak. Dan bukan semua yang suka memasak itu pandai memasak. Dan bagi suatu kursus yang begitu bersandarkan pada minat dari awal, adalah ironik kerana tidak ada satu subjek pun di sekolah yang menjurus kepada senibina.

Namun begitu kecenderungan terhadap bidang ini boleh diperhatikan dari bangku sekolah. Jadi cikgu-cikgu sekolah, terutamanya cikgu kaunseling dan kerjaya, patut mengambil perhatian terhadap pelajar yang mempunyai kecenderungan tertentu seperti berfikiran kreatif dan kritikal, pandai dan minat melukis, kebolehan bercakap di khalayak ramai dan sebagainya.

Pesan pada mereka dari awal lagi. Cadangkan kerjaya sebagai seorang arkitek dari bangku sekolah. Sekiranya mereka berminat, pasti mereka akan cari sendiri dan bina minat itu mengikut selera dan citarasa masing-masing.

Jangan sesekali menceburkan diri dalam kursus ini kerana pilihan ibu bapa, kerana jiran nampak mewah, disuruh cikgu atau kerana nampak glamer dalam TV. Sudah terlalu ramai pelajar yang mengikuti pengajian ini gagal di pertengahan jalan dan bertukar kepada kursus lain. Jadi sekiranya anda betul-betul ingin mengikuti kursus ini, cari dan baca mengenainya diinternet. BUKAN dengan mengisi borang UPU!

4. Lemah Matematik dan Pemikiran Logik

Ramai yang mengatakan senibina perlu cemerlang dalam matapelajaran matematik dan fizik. Sebenarnya ini tak begitu tepat. Matematik memang perlu. Fizik boleh dipelajari dan diperkukuhkan walaupun tidak ada asas fizik ketika di sekolah (kerana tidak mengambil/menjurus ke dalam sains ketika di SPM, STPM).

Yang penting sebenarnya ialah kekuatan pemikiran logik. Rasionalisasi dan justifikasi ketika berfikir amat penting kerana seorang arkitek bukan sahaja menghasilkan hasil seni yang cantik dan indah, tetapi juga berfungsi dan bersesuaian dengan kehendak klien dan pengguna. Tidak semestinya seseorang yang tidak mengambil matapelajaran fizik tak boleh menjadi seorang arkitek. Pemikiran logik pasti ada pada setiap orang. Ianya perlu diasah dan diperkukuhi agar bersesuaian dengan kehendak jurusan senibina ini.

Cumanya, pemikiran logik kerap dikaitkan dengan pembelajaran sains dan matematik. Jadi seorang yang mempunyai pemikiran logik yang kukuh seharusnya tidak ada masalah untuk cemerlang di dalam matapelajaran tersebut. Sekiranya anda ada mengambil matapelajaran tersebut tetapi nyaris-nyaris gagal, mungkin anda patut elakkan jurusan ini.

5. Kurang Keyakinan Diri, Berkomunikasi dan Daya Saing

Ada yang menggelar arkitek ini adalah jurujual gila. Gila kerana seorang arkitek akan cuba menjual produk atas kertas (produk yang belum dihasilkan lagi) dengan janji akan dibina dengan nilai puluhan juta. Siapa di dunia ini yang sanggup membeli produk yang belum siap pada harga jutaan ringgit?

Jadi seorang arkitek perlu mempunyai jati diri yang tinggi, berkebolehan untuk berkomunikasi dengan baik dan sentiasa berani menghadapi cabaran. Ini amat kritikal, kerana arkitek adalah sebahagian dari konsultan yang perlu bekerjasama dengan konsultan, pihak berkuasa tempatan, pembekal dan pembina. Arkitek perlu tegas tetapi pada masa yang sama diplomatik dan bertolak ansur.

Arkitek perlu hebat dalam berkomunikasi, sama ada untuk memenangi hati klien atau mempertahankan hak-hak mereka. Arkitek juga perlu berani ke depan untuk merebut peluang yang mungkin hanya akan datang sekali seumur hidup mereka.

Jika anda jenis yang kurang bersosial, timid dan menyendiri, ia menggambarkan yang anda seorang yang introvert. Tidak bermakna anda tak boleh menjadi arkitek. Cuma ia mungkin akan menyebabkan anda sukar bersaing dengan arkitek extrovert di luar sana.

6. Tidak Proaktif dan Cepat Berpuas Hati

Seperti memasak, design memerlukan komitmen yang tinggi. Sekiranya anda tak cukup proaktif untuk masuk ke hutan bagi mencari ramuan yang terbaik, jelas anda belum sedia untuk menghasilkan masakan bercitarasa tinggi. Memburukkan keadaan lagi, apabila anda cepat berpuas hati dengan citarasa yang remeh dan murah.

Kombinasi ini kerap dapat dilihat pada pelajar-pelajar yang gagal di dalam jurusan senibina atau yang sepertinya. Pelajar yang baik biasanya proaktif. Senibina memerlukan bukan setakat proaktif, tetapi juga pelajar yang berdikari.
Seorang arkitek perlu gigih mencari penyelesaian terbaik, bukannya penyelesaian pertama yang ditemuinya! Maka kerja arkitek adalah berterusan sehinggalah mencecah deadline.

7. Pantang Ditegur dan Tak Boleh Terima Kritikan

Sikap pantang ditegur, cepat melenting dan tak boleh terima sebarang kritikan tidak ada tempatnya di dalam jurusan senibina. Dari mula belajar sehinggalah menjadi seorang profesional, seorang arkitek perlu mampu mengolah semua kritikan, kutukan dan makian menjadi sesuatu yang positif.

Seorang artis biasanya akan menghasilkan hasil seni yang muktamad dan tidak akan berubah, namun seorang arkitek perlu sentiasa memperbaiki hasil kerja secara berterusan (selagi dibenarkan). Tanpa kritikan, saranan dan komen yang jujur dan tajam, seorang arkitek tak akan dapat memperbaiki diri mereka. Dalam setiap teguran, tak kira betapa pedas atau menyakitkan hati, seorang arkitek perlu objektif dan menilai maksud sebenar teguran itu.

Kalau anda bukan seorang yang tidak boleh menerima teguran dan emosional, elok dielakkan dari terjebak di kancah ini. Nanti ramai sangat beratur di klinik psikiatris pulak.

8. Tiada Stamina (Fizikal dan Mental)

Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, jurusan ini berkisar sekitar subjek design. Design merupakan subjek teras yang bakal memakan masa yang banyak. Kerap kali masa tidur menjadi sangat singkat (3-4 jam sehari), dan kebiasaannya tak tidur langsung di hujung semester.

Memburukkan keadaan lagi, selepas berhari-hari tak tidur, pelajar akan berdebat dengan para juri untuk mempertahankan design masing-masing. Kemampuan fizikal dan mental pelajar akan diuji bertubi-tubi. Tiada kata yang dapat menggambarkan betapa mencabarnya kursus ini sehinggalah seseorang itu melaluinya.

senibina
Masih di pejabat pada pukul 12.26am? – Foto oleh Akmar Kamarol

Dan ini akan berlaku setiap semester sepanjang sekurang-kurangnya 5 tahun pengajian. Tanpa kekuatan mental untuk memotivasikan diri dan terus maju di dalam pengajian? Anda akan gagal. Tanpa kekuatan fizikal untuk menyokong kehendak mental? Anda juga akan gagal.

Sekiranya anda tidak merasa mampu untuk berdepan dengan semua ini, kami nasihatkan seelok-eloknya elakkan jurusan ini!

9. Kekangan Kewangan

Ini tak bermakna orang yang kurang berkemampuan tak patut mengambil jurusan ini. Tetapi hakikatnya, jurusan ini akan memakan kos yang tinggi, walaupun dengan bantuan kerajaan. Setiap semester pelajar akan menghasilkan purata 10 helai A1, tidak termasuk helaian draf (untuk krit) yang mungkin mencapai lebih 100 helai per semester, beberapa buah model dan sebagainya.

Kos peralatan (sekali beli) juga perlu diambil kira seperti peralatan melukis, komputer, printer dan sebagainya. Ini tidak termasuk kos untuk tugasan, projek-projek tambahan, trip lawatan ke tapak, sewa fasiliti dan sebagainya. Dianggarkan (setakat 2016), pelajar memerlukan hampir RM2000 setiap semester untuk pengajian sahaja. Akhirnya, ditambah lagi dengan kos sara hidup sebagai seorang pelajar!

senibina
Satu buku rujukan dianggarkan antara RM100-RM250, dan adakalanya boleh mencapai sehingga RM600 senaskhah!

Pelajar senibina tak akan punya banyak masa untuk membuat kerja sambilan bagi menambah duit poket kerana akan sibuk dengan tugasan dan projek. Jadi di sini, sokongan kewangan dari keluarga, PTPTN, biasiswa atau sebagainya amat kritikal.

10. Artistik, Tapi Tidak Kreatif

Kreatif dan artistik adalah dua perkara yang berbeza. Jangan keliru! Kedua-dua perkara ini bunyinya macam sinonim, tapi sebenarnya artistik merujuk kepada kebolehan dan bakat dalam menghasilkan seni seperti melukis, menyanyi, mengukir dan sebagainya. Kreativiti pula adalah kebolehan berfikir untuk menghasilkan, mengolah atau mengubah suai sesuatu benda atau perkara untuk tujuan tertentu.

Contohnya, mengubahsuai basikal agar lebih laju atau tahan lasak adalah aktiviti kreatif. Mencipta resepi mee segera yang baharu adalah aktiviti kreatif. Mencari jalan alternatif untuk mengelak kesesakan trafik juga adalah aktiviti kreatif.
Tapi, menyanyi lagu orang lain dengan meniru lenggok dan melodi yang sama bukan kreatif. Meniru lukisan manga bulat-bulat bukan aktiviti kreatif. Namun begitu, meniru dan mengikut contoh yang baik pada dasarnya adalah teknik yang baik untuk mengasah kreativiti anda.

Mengapa kreativiti penting dalam senibina?

Kerana anda perlu menyelesaikan masalah setiap hari. Masalah yang unik dan pelbagai yang kerapkali tidak ada penyelesaian yang khusus atau tepat. Ini menyebabkan seorang arkitek perlu sentiasa kreatif agar dapat mengendalikan sesuatu masalah dengan baik dan bersesuaian, lebih-lebih lagi ketika dalam pengajian. Sekiranya anda bukan jenis yang rajin mencari cara baru untuk menyelesaikan masalah dan tidak kreatif dalam berdepan dalam kehidupan seharian, jurusan ini mungkin bukan untuk anda.

Di harap dengan penjelasan dalam artikel ini, anda akan dapat gambaran yang lebih jelas sebelum terjebak dalam jurusan yang amat mencabar ini.

LIKE dan FOLLOW infopelajar2u di Facebook dan Twitter